Tuesday, 10 June 2025

Maldives - Hari 1


Sebenarnya Maldives bukanlah antara negara yang dalam wishlist kami, tapi tula kalau dah rezeki tu tak ke mana. Satu hari tu tengah sembang-sembang dengan Ada, kebetulan pula memang masa tu saja-saja dok usya tiket kat internet.

Nah...nampak harga tiket dari KL-Maldives quite ok (affordable), Ada tanya aku jom pi...aku jawab...ayat ni "ikut la" (maksudnya jom pi la tu)...haha.

Itinerari dan kos-kos lain akan fikir kemudian. Lepas beli tiket apa lagi Ada pun ajak la cik Ell, dengan pantas dia jawab "nak piii jugakkkk"...ok bertambah dua orang (cik Ell dan Fairus) lepas tu saja ajak lagi geng Semporna kami dulu Fazidah dan Watie....pun jawab yang sama juga..."nak ikuttttt"...haha...ok...settle bab-bab ajak ni...7 orang (termasuk sikecik Iman Mikayla) cukup la, tak mau dah ajak sapa-sapa lagi, lagipun diorang ni memang kami dah biasa travel sama-sama, memang boleh click dengan kami.

Maka bermula la Ada study sana sini, habis semua ceruk FB, tiktok, insta yang digodek-godek. Agoda pun entah berapa kali dok book...cancel...book...cancel. Ada beberapa hotel juga yang Ada contact terus..alhamdulillah diorang pun sangat responsive.

Oh ya...kalau diikutkan bulan Jun dikategorikan sebagai low season sebab musim hujan (iaitu antara Mei-November), kekerapan turunnya hujan adalah tinggi dan kelembapan udara juga lebih tinggi. Biasanya orang tak ramai sangat masa ni, kelebihannya datang musim ni kami tak perlu bersesak-sesak.

Sebagai pengetahuan am, Maldives merupakan negara kepulauan yang mempunyai 1,192 pulau namun hanya lebih kurang 200 pulau je yang ada penghuni, samada didiami oleh penduduk asal mahupun ada antara pulau yang dijadikan sebagai kawasan resort (lebih privasi).

Maldives juga merupakan satu-satunya negara di dunia ni yang rakyatnya 100% beragama Islam (Sunni). Jumlah penduduk juga agak sikit iaitu hanya 515,132 orang  je (menurut bancian 2022) dan  negara di Asia kedua paling sedikit penduduknya selepas negara Brunei Darussalam.

Ok...jom...sama-sama kita meneroka negara kepulauan Maldives ni...



H A R I 1 - I S N i N

0 9 J u n 2 0 2 5
1 3 Z u l h i j j a h 1 4 4 6 H

Memandangkan tiket flight dari Penang ke Kuala Lumpur pada tarikh hari ni sangat la mahal jadi kami ambik keputusan untuk hanya menaiki bas dari Penang Sentral terus ke KLIA Terminal 2 (KLIA T2). Harga tiket bas pun jauh lebih murah (RM 60) dan check-in luggage tak perlu add on pun.

Di sini la bermulanya cerita yang agak mendebarkan...jom...ikuti terus perjalanan kami yang ala-ala explorace ni..😁



Tiket bas sepatutnya gerak jam 9.00 malam dan dijangka sampai pada jam 2.30 pagi di KLIA T2. Jadinya kalau ikut pada jadual perjalanan ni kami mempunyai masa yang panjang untuk transit di KLIA T2, flight kami ke Male, Maldives ialah jam 8.35 pagi esoknya.

Cik Ell dan Fairus dah tiba kat Penang Sentral jam 7.20 petang, Idah sampai 8.25 malam, Wati jam 8.29 malam dan kami bertiga yang terakhir sampai jam 8.38 malam. Cik Ell dah tunggu kami kat kaunter (dia tolong ambik tiket fizikal), so kami pun turun beramai-ramai ke platform 5 kat aras bawah, masa ni baru jam 8.45 malam, orang pun dah ramai menunggu kat sini.

Aku tengok jam kat tangan dah jam 9.00 malam bayang bas pun tak nampak lagi, 10 minit...20 minit berlalu masih belum nampak bas lagi. Tengok jam dah 9.30 malam belum juga ada bas, aku pun pi la kat kaunter sebelah pintu keluar dan bertanya kat staf pompuan yang tengah menunggu kat situ.

Aku : " Cik...bas kami jam 9 malam nak ke KLIA 2 ni sebenarnya ada masalah ka sebab sampai sekarang tak sampai-sampai lagi pun? "

Pompuan tu buat-buat tengok kat clipboard dia...dan cakap apa ntah kat walkie talkie dia...sebab tak berapa jelas.

Staf : "Bas dah on the way encik"

Aku : "Oooo...ok...terima kasih"

Ok la lega di situ. Tapi jam 9.50 malam bas tak sampai-sampai lagi aku pi kaunter lagi..

Aku : "Cik...bas masih tak sampai lagi la...ada masalah ka,,,kami ni dah lewat sangat dah ni sebab ada flight esok pagi-pagi" (kena la exaggerate kan untuk nak tunjuk urgency tu.

Staf : "Bas dari Ipoh encik..."

Aku : "Haa...jauhnya...sekarang bas dah ada kat mana?"

Staf : "Tak pasti encik...nak call pun tak dapat...jalan raya sekarang jem encik"

Aku : "Mmm...ok..terima kasih"

Lepastu...aku tak puas hati...minta tolong la cik Ell pula tanya kat staf tu lagi...tak lama kemudian...bas pun sampai...jangan laa delay lagi.

Bas tiba di parkir platform 2  tepat jam 9.55 malam(tukar platform pula dah, nasib baik bertentangan je dengan platform 5). Fuh lega sikit tapi bukannya terus bergerak pun, dia boleh parkir baikkkk punya kat platform tu...adoiii la.

Dalam situasi di atas ni...yang aku agak terkilan dan geram...staf kat situ takde sorang pun ambik inisiatif untuk membuat sebarang pengumuman berkenaan dengan kelewatan mana-mana bas. Sepatutnya diorang kena buat la pengumuman supaya penumpang maklum dan boleh la fikir alternatif lain ka apa. Pengurusan terminal bas kurang eifisian dalam hal ni, perlu diperbaiki lagi untuk masa-masa akan datang.


Keadaan dalam bas...selesa kan...2 seater di kiri dan 1 seat kat belah kanan


Sebaik saja menaiki bas, sempat aku bertanya kat driver ;-

Aku : " Tuan...bas ni akan terus ke KLIA 2 ka? "

Driver : " Tak bang...kita akan singgah Kamunting, lepastu kita akan tukar bas kat situ nanti "

Aku : " Haaa...tukar bas...kami tak dimaklumkan pun, sempat tak nak sampai KLIA 2 sebelum jam 5.30 pagi sebab kami ada flight esok pagi"

Geram pula aku...dah kenapa kena tukar bas pula, takde pun dalam tiket tu tulis kena tukar bas...haishhh...down time pula nanti kat sana.

Driver : "Tak pasti bang...sebab sekarang jalan tengah jam, tapi rasanya sempat tu bang"

Harap-harap apa yang dia bagitau tu betul la.

Yang lebih merisaukan ada sorang penumpang pompuan depan kami tu katanya dia selalu naik bas dari Penang Sentral ke KLIA T2 dan pernah juga perjalanan yang hanya 5 jam setengah jadi 9 jam setengah. Haaa...lagi la kami risau kalau dah camtu tempoh perjalanannya kami akan sampai dalam jam 7.30 pagi esok...mananya sempat nak drop luggage...masa ni kami tawakal jela dengan ALLAH....moga-moga dipermudahkan perjalanan.

Lebih kurang jam 10.30 pagi bas pun bergerak...masing-masing dalam hati memang berdoa sentiasa agar dipermudahkan perjalanan. 

Driver ada maklumkan yang jalan raya agak sesak sikit sekarang memandangkan ramai yang baru balik dari bercuti hari ni (Cuti gantian Raya Haji - 09 Jun 2025) jadi ramai yang balik ke sarang masing-masing malam ni.

Dari Penang Sentral kami menuju ke bangunan Syarikat Bas Starmart Express mengambil masa dalam sejam setengah disebabkan jalan agak sesak sedikit di kawasan Juru. Bas stop kat sini kejap dalam 10 minit untuk ambik penumpang lepastu meneruskan perjalanan ke Stesen Bas Kamunting dan kat sini la kami kena tukar bas pula dari bas setingkat kepada bas 2 tingkat. Kat sini saja urusan pertukaran bas mengambil masa dalam 20 minit. Tepat jam 12.00 tengah malam kami meneruskan perjalanan direct ke KLIA Terminal 2.

Jika ikut pada estimation kat google maps perjalanan dari sini ke KLIA T2 hanya mengambil masa dalam 4 jam 15 minit je maknanya kami akan sampai sebelum jam 5 pagi...ok la lega, harap-harap betul la tu kalau extend pun biar la tak lama..

Ok...boleh tidur dalam bas kejap...



~ T A M A T   H A R I  1 ~