Sunday 23 November 2014

Gunung Korbu dan Gayong


Bismillahirrahmaanirrahim...

TARIKH - 08 – 10 Mac 2014 (06-08 Jamadil Awal 1435) – Sabtu-Isnin
MASA – 8.00 pagi (08 Mac) - 7.30 ptg (10 Mac)
PESERTA - 22 Orang (16 Lelaki dan 6 Perempuan)
JARAK PENDAKIAN – 49.8 km
TEMPOH PENDAKIAN – 3 hari 2 malam
TEMPAT – Gunung Korbu dan Gunung Gayong, Ulu Kinta, Perak
KETINGGIAN GUNUNG - Korbu (2,183m) & Gayong (2,173m) - Kumpulan G7
BEBAN  - 18 kg
POSISI - Penyapu Lidi (Sweeper)
KESUKARAN PENDAKIAN – 8.5/10
KOS KESELURUHAN - RM80 (Carpool + Ration + Permit + Khemah)




LOG PERJALANAN

07 Mac 2014 / 05 Jamadil Awal 1435H (Jumaat)

11.30 mlm - Bertolak dari Tempat Letak kereta Hospital Seberang Jaya, Penang. Sebanyak 5 buah kereta telah digunakan untuk trip kali ini untuk membawa seramai 22 orang peserta ke lokasi Starting Point.

08 Mac 2014 / 06 Jamadil Awal 1435H (Sabtu)

01.10 pagi - Tiba di R&R Sungai Perak, menikmati supper.

02.00 pagi - Bergerak ke Ulu Kinta untuk bermalam di Masjid Jamek Tanjung Rambutan

02.45 pagi - Tiba di Masjid Jamek Tanjung Rambutan, park keta kat sini dan terus merehatkan diri. Ada yang tidur dalam masjid dan ada yang tidur dalam kereta (ikut keselesaan masing-masing).

04.30 pagi - Bangun untuk sarapan dan tapau makanan untuk lunch masa mendaki nanti. Jauh juga perjalanan kami mencari kedai pagi-pagi buta ni, xde satu kedai pun buka kecuali kedai mamak, kami makan kat sini dan ada yang tapau nasi terus dari kedai ni.

06.15 pagi - Solat subuh kat Masjid Jamek Ulu Kinta. Selesai solat ada antara kami yang terus menyalin pakaian dan sebagainya.

07.00 pagi - Membeli makanan untuk tapau lunch masa trekking nanti. Lepas tu terus ke kawasan Empangan Sultan Azlan Shah.

08.00 pagi - Tiba di Empangan Sultan Azlan Shah ; kat sini kami bersiap-siap mengemas barang keperluan masing-masing. Abang Nuar dan Adi dah sampai awal di sini. Ration masing-masing diagihkan mengikut kumpulan yang telah ditetapkan sebelum ini. Sementara itu Hanizamal sedang berurusan dengan penjaga empangan tersebut untuk urusan membuka gate agar kami boleh masuk ke kawasan empangan (surat kebenaran telah pun diperolehi daripada Jabatan Pengaliran Negeri Perak).

08.50 pagi - Tiba di tempat letak kereta di dalam kawasan empangan, setelah memandu dari gate selama lebih kurang 15 minit. Persiapan akhir dilakukan agar tiada barang akan tertinggal semasa pendakian dilakukan.

08.55 pagi - Sesi taklimat oleh Hanizamal selaku penunjuk jalan untuk trip ini. Sesi regangan, bacaan doa dan bergambar sebelum pendakian dimulakan.

Gambar group sebelum memulakan pendakian

09.15 pagi - Pendakian bermula ; trek pada mulanya adalah landai dan sedikit menaik. Melalui kawasan kebun lereng-lereng bukit dan kadang-kadang terpaksa melalui atas akar kayu yang melilit pada batu (agak merbahaya sekiranya tergelincir kerana lereng yang tinggi). Sekali sekala terpaksa berhenti rehat kerana kepenatan.

10.30 pagi - Tiba di Dataran Pacat ; berehat sebentar untuk topup tenaga. Nasib baik sekarang bukan musim hujan jadi pacat memang xde langsung. Kalau musim hujan ni gerenti kawasan ni banyak pacat ; perjalanan diteruskan setelah rehat selama 3 minit dan keadaan trek masih lagi landai tetapi melalui lereng-lereng yang agak merbahaya, beberapa anak sungai terpaksa diredah. Cuaca di persekitaran agak panas dan menyebabkan kami cepat dahaga.

11.35 pagi - Tiba di kawasan air terjun ; ada papan tanda Waterfall yang diletak di sini, kami tak singgah dan perjalanan diteruskan. Kat sini trek dah mula mencanak-canak, terpaksa take 3 banyak kali ; biasalah kalau posisi sebagai penyapu ni kena la banyak bersabar tapi seronok sebab boleh berhenti ambik banyak gambar.

12.10 t/hari - Tiba di papan tanda Bukit Penat ; memang sesuai sangat la nama bukit ni memang trek sangat memenatkan sebab terpaksa melalui trek yang turun naik...turun naik beberapa kali dengan keadaan trek yang mencanak x hengat. Banyak kali rehat juga sebab terlalu penat dengan bawa beg berat lagi.



12.58 t/hari - Alhamdulillah, tiba di Kem Seroja ; berhenti rehat dan makan. Kem adalah cukup luas (tanah rata) dan aku rasa boleh la memuatkan dalam 50-60 orang dalam satu-satu masa. Masa ni semua geng lain dah sampai tinggal kami geng penyapu ni la. Makan tengahari lunchpack yang dah kami tapau pagi tadi. Ada sungai di kem ini, lunch kat tepi sungai di dalam hutan cukup menyelerakan dengan keadaan penat dan lapar.

Kem Seroja
Rehat jap kat kemsite

01.45 ptg - Pendakian di sambung. Trek seperti biasa canak...canak...dan canak...dalam hati ni terdetik rasa menyesal sebab apalah aku masuk utan ni...dok rumah elok2 kan lagi bagus (tapi biasa la tu drama kat kepala je). Geng lain pun dah mula semput-semput, sekali sekala terpaksa berhenti untuk topup tenaga. Ada yang sampai terbaring di atas trek sebab dah terlalu penat.

03.50 ptg - Alhamdulillah, tiba di Kem Kijang ; berhenti di sini untuk topup tenaga dan juga solat. Saiz kem adalah sederhana dan mungkin sedikit sukar untuk memasang ground atau khemah. Rasanya boleh la memuatkan dalam 20 orang dalam satu-satu masa tapi mungkin khemah/ground akan ‘berselerak’ sebab bentuk muka buminya yang tidak sekata, tidak seperti kem seroja. Kat sini pun banyak sangat lebah, mungkin kerana bau peluh (garam) yang dikeluarkan daripada badan kami yang telah menarik perhatian, memang x selesa. Bayangkan tengah2 rehat ni, boleh pula dia hinggap kat badan kita, masa solat lagi la...mau x khusyuk solat dibuatnya.




04.25 ptg - Meneruskan pendakian ke last station iaitu di Last Water Point (LWP Termin) ; ok, trek nak ke LWP ni pun mencanak x hengat. Tak habis2 lagi ka sesi penderaan mental dan fizikal ni, ada yang minta take 5 aku x kasi..take 2 cukup...karang lambat pula nak sampai ke LWP tu. Masa makin mendekati jam 6 maknanya ada lebih kurang 1 jam setengah lagi malam akan tiba. Aku x mau trekking dalam gelap sebelum sampai LWP. Langkah terpaksa dilajukan sedikit dan rehat pun terpaksa dipendekkan setiap kali berhenti, amekaw..kesian pula yang dah terlalu penat tu. Masing-masing dah mengeluh sebab dah terlalu letih yang amat, trek ni memang mental habis la. Peluh di badan tak berhenti-henti mencurah macam kena hujan pun ada..haha. Penat-penat kami pun posing tetap posing.


Penat sangat sampai tertidur atas trek

6.30 ptg - Alhamdulillah, akhirnya tiba di LWP Termin, keadaan tapak pekhemahan memang sempit. Mana-mana yang dah sampai awal tadi ada yang mandi di anak sungai kecik kat sebelah dengan kemsite (kena turun sikit dalam 6-7 meter). Anak sungai pun kecik je dengan ada mata air sikit, cukuplah untuk membasahkan badan dan bekalan air untuk memasak dan bekalan esok mendaki. Aku dengan Anip dok dalam satu khemah, tapak khemah kami agak kecik (pinjam k.yani punya...hehe..dia yang offer sbb diorang nak tido bawah fly je), cukuplah untuk kami dua orang. Cuaca dipersekitaran memang sejuk, altitud kemsite ni adalah dalam 1,400m dari aras laut.

Keadaan kemsite yang bertingkat-tingkat

8.30 mlm - Baru nak start main masak2 ; disebabkan tempat pergerakan yang terlalu sempit ia agak menyukarkan kami untk bergerak.

9.30 mlm - Makan malam ; lepas makan barulah masing-masing solat jamak di atas trek. Nak solat dalam khemah memang x boleh sebab keadaan tanah yang tidak rata.

11.00 mlm - Tidur dan merehatkan diri.


09 Mac 2014 / 07 Jamadil Awal 1435H (Ahad)

06.30 pagi - Solat Subuh, dan terus bersiap-siap untuk menyediakan sarapan pagi.

08.00 pagi - Sarapan pagi dan berkemas-kemas.Berposing di sekitar kemsite dan khemah, ambil air kat water point untuk di bawa naik ke atas. Masing-masing membawa sekurang-kurangnya 3L air untuk bekalan di puncak dan turun dari puncak nanti keesokkan harinya.

10.15 pagi - Memulakan pendakian untuk ke puncak Korbu ; mula-mula lagi dah trek mencanak-canak, maka penderaan mental dan fizikal pun bermula. Kiri dan kanan kami dihidangkan dengan pelbagai tumbuhan, cuaca kadang-kadang sejuk dek tiupan angin lembut yang datang dari pelbagai arah.

11.25 pagi - Alhamdulillah, tiba di Puncak Botak ; pemandangan dari puncak ni memang menakjubkan kerana dari sini kami dapat melihat puncak Korbu dan Gayong sekaligus. Puncak Korbu kelihatan dekat tetapi trek yang bakal kami lalui adalah lebih mencabar kekuatan fizikal kami nanti. Agak panas apabila berada lama di atas puncak ni. Rehat kejap untuk topup tenaga, rehat lama sikit dalam 5 minit sebab masing-masing pun dah x larat.

Puncak Botak

Pemandangan Puncak Korbu (Kiri) dan Puncak Gayong (Kanan)

11.30 pagi - Sambung pendakian ; trek yang lebih mencabar dilalui kat sini, tenaga masing-masing sudah semakin berkurangan. Air pula x boleh nak minum banyak sangat sebab untuk digunakan di atas puncak dan turun esok.

11.44 pagi - Tiba di tangga besi yang pertama ; trek kat sini memang cantik dan sedikit mistik tetapi memenatkan. Lepas je tangga ni, trek semakin mencanak-canak...wowww...penat x habis lagi dah kena memanjat lagi.

12.31 t/hari - Tiba di tangga besi yang kedua ; trek yang merbahaya sebab dekat dengan lereng gunung yang curam. Kat sini memang kena lebih berhati-hati dan trek yang seterusnya selepas tangga juga sangat curam. Kami terpaksa menggunakan kaki dan tangan untuk memanjat lereng, dengan keadaan beg yang berat lagi ia sedikit sebanyak menyukarkan pendakian kami. Sekali sekala apabila aku pandang ke bawah lereng, memang menakutkan, kalau jatuh ke gaung tu memang agak mustahil untuk kita selamat. Namun, apabil memandang ke langit dan nun di kejauhan pula pemandangannya cukup indah dan mendamaikan. Trek terus mencanak dan mencanak, aku rasa trek ni sesuai untuk dinamakan Trek Tiada Maaf Bagimu sebab memang betul2 menguji ketahan fizikal dan mental kita.




01.09 ptg - Alhamdulillah, tiba di Puncak Chuban ; pemandangan cukup indah dengan langit yang membiru dan lanskap pergunungan yang berlapis-lapis. Kelihatan seperti karya agung yang telah dilukis oleh sang pencipta sekalian alam. Kat sini kami berehat agak lama sebab tenaga masing-masing sudah terlalu banyak digunakan sepanjang trek. Makan dan minum sebentar di sini untuk kasi up sikit tenaga dalam badan. Seperti biasa posing tetap posing, rugi kalau x ambik gambar kat atas puncak ni.



01.31ptg - Pendakian disambung lagi...walaupun terasa nak rehat terus je kat sini tapi perjalanan mesti diteruskan ; trek seterusnya tetap mencanak dan berbatu...naik dan naik...dan naik.

02.35 ptg - Alhamdulillah, tiba di Puncak Gunung Korbu, cuaca cukup cantik dan menakjubkan. Suhu persekitaran juga cukup selesa (tak pasti la berapa darjah). Kelihatan geng2 yang lain yang sampai awal ada yang sedang berehat sambil berbual2 dengan rakan-rakan yang lain. Ada yang tengah masak makan tengahari, dan seumpamanya. Tapak perkhemahan di puncak Korbu agak besar, rasanya boleh memuatkan lebih kurang 50-60 orang dalam satu-satu masa. Makan dan solat dulu lepas tu kami akan sambung pendakian (secara free body) untuk ke puncak Gunung Gayong pula.





04.40 ptg - Sambung pendakian menuju puncak Gunung Gayong ; trek yang dilalui adalah menurun dan menaik. Pemandangan yang dihidangkan di kiri dan kanan trek adalah sangat cantik dan menakjubkan kerana kami dapat melihat banjaran Titiwangsa hampir sepanjang trek (melalui trek permatang). Hutan lumut yang berada sepanjang trek juga cukup cantik namun, memandangkan dah lama tak hujan, lumut-lumut tak begitu hijau dan ada yang dah kuning. Tapi pemandangan hutan lumut tetap cantik (kalau musim hujan lumut-lumut ni mesti lagi cantik).

07.13 ptg - Tiba di Simpang Proton, kelihatan matahari sudah mula terbenam, sikit lagi nak sampai puncak Gayong dah ni.

07.20 ptg - Alhamdulillah, tiba di Puncak Gayong, sampai je kat sini masing2 dah mula sibuk ambik gambar, aku dengan baju melayu merahku. Kami tak lepak lama kat sini sebab kat sini tak boleh nak tengok sunset





07.28 ptg - Lepak di puncak view (tak pasti nama kawasan ni) ;  kat sini memang boleh tengok sunset dengan jelas. Alhamdulillah, cantik sungguh pemandangan petang ni, walaupun sedikit berjerebu tapi pemandangan tetap menakjubkan.






07.50 ptg - Bergerak untuk ke Puncak Korbu semula.

10.23 mlm - Tiba di Puncak Korbu ; persediaan makan malam dan solat. Suhu persekitaran semakin sejuk, langit sungguh cerah sehingga dapat melihat bintang-bintang dan bulan di langit..Subhanallah.

12.20 mlm - Tidur dan merehatkan diri.



09 Mac 2014 / 07 Jamadil Awal 1435H (Ahad)

06.30 pagi - Solat Subuh, suhu di dalam khemah agak sejuk apatah lagi di luar khemah. Dah la aku tak boleh tidur langsung sebab terlalu sejuk. Yang peliknya dalam khemah pun boleh sejuk, tak pastilah camna boleh masuk dalam khemah. Selesai solat, sarapan tak disiapkan lagi sebab nak layan sunrise pula.

7.00 pagi - Masing-masing dah mula menapak di kawasan untuk melihat sunrise, kawasan agak terhad dan kebetulan pula terdapat sarang semut kat kawasan ni.

7.16 pagi - Cahaya matahari mula muncul, subhanallah memang cantik dan menakjubkan, kelihatan pemandangan banjaran Titiwangsa nun jauh di sana. Menakjubkan apabila banjaran tersebut di pancari dengan cahaya matahari pagi. Gambar pemandangan diambil dari pelbagai sudut, selfie sana sini. Kadang-kadang kena gigit semut pun ada, tapi tak kiralah sebab nak dapat gambar yang cantik punya pasal. Kena hati-hati juga kat sini sebab kalau silap langkah boleh jatuh gaung dibuatnya.



8.00 pagi - Sarapan pagi dan sesi mengambil gambar dan video di sekitar puncak Korbu.



10.13 pagi - Memulakan penurunan pendakian.

07.08 ptg - Alhamdulillah tiba di Starting Point. Semua geng lain yang telah sampai awal ada yang mandi dan ada yang sudah siap menyalin pakaian. Trip XG7-KorGa DENGAN RASMINYA TAMAT DI SINI.


JohnS
30 Muharram 1436H (Ahad)

4 comments:

  1. Salam. nak contoh surah kebenaran dr JPS untuk masuk kawasan empangan boleh?

    email ke khairunnasm@gmail.com

    TQ :)

    ReplyDelete
  2. TEBING TINGGI BACAKPACKER(fb)TTB OUT DOOR
    MOUNT GUIDE SERVICES LICENCED(TG 9024)

    WILL ARRANGE:
    -forestry permit
    -police report
    -nature guider licenced
    -emergency kit(basic)
    -walkie talkie
    -4x4 to trail head

    ANDY
    017-9997790
    call/whataps/sms

    ReplyDelete
  3. sy baru nak pergi sana mggu depan..terima kasih atas perkongsian

    ReplyDelete